SEJARAH PPLV
Penyamun ugut datang lagi
sumber Sinar Harian
KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
18 Oktober 2015
Rumah mangsa cubaan samun di Lavender Heights, kelmarin. Gambar kecil: Darah mangsa terpercik di lokasi pergelutan akibat ditetak penyamun, kelmarin.
SENAWANG – “Kau jaga! Aku ‘repeat’ (datang) lagi.
Demikian ugutan penjenayah yang masih terngiang-ngiang di telinga Ilah (bukan nama sebenar), 36, salah seorang mangsa cubaan samun di Lavender Heights, di sini, kelmarin.
Menurut Ilah, salah seorang penjenayah sempat memberi amaran berkenaan sebelum melarikan diri dengan menaiki Yamaha 125Z berikutan rancangan jahat mereka digagalkan adik iparnya, Wan (bukan nama sebenar), 28.
“Sampai sekarang, kami sekeluarga masih trauma.. kami bimbang, mereka berdua betul-betul datang balik nanti,” katanya.
Menceritakan semula detik cemas berkenaan, Ilah berkata, ketika kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, mereka baru sahaja pulang daripada bercuti di Port Dickson.
“Masa tu.. kami sedang angkut beg pakaian dari kenderaan yang di parkir di luar pagar. Tiba-tiba, mak berlari ke dalam rumah sambil menjerit.
“Bila jenguk keluar, saya nampak Wan tengah bergelut dengan seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang sepanjang lengan,” katanya yang ketika itu tergamam di muka pintu.
Menurutnya, individu yang memakai topi keledar itu berkali-kali menetak adik iparnya yang cuba menutup pintu pagar manakala seorang lagi menunggu di atas motosikal, tidak jauh dari situ.
“Walaupun dua-dua tangannya cedera parah, Wan tetap tak mengalah. Dia ambil cangkul di tepi tembok dan ayun pada lelaki tu.
“Hayunan pertama kena pada helmet penjenayah. Kali kedua, lelaki tu mengelak dan cangkul terkena bahagian atas pagar,” katanya kejadian berlaku lebih kurang lima minit.
Kata Ilah, tindakan adik iparnya itu menyebabkan penjenayah terbabit melarikan diri.
“Lagipun, penjenayah tu.. terkejut bila nampak tunang adik Wan bergegas keluar nak bantu. Sebelum beredar, dia cuba sembur ‘pepper spray’ pada Wan tapi tak kena.
“Masa nak cabut lari, si penjenayah sempat lagi capai beg pakaian saya dalam bonet Perodua Alza yang terbuka. Waktu tu dia ugut kami, nak datang lagi lepas ni..,” katanya.
Akibat kecederaan dialami, kata Ilah, adik iparnya dikejarkan ke sebuah hospital swasta, di sini, dan dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama lima jam.
“Mujur Wan melawan. Tak tahulah apa jadi kalau penjenayah tu dapat masuk dalam rumah, sebab ada budak dan orang tua.
“Saya tak pasti pula, ada kaitan atau tak. Tapi sehari sebelum kejadian, Wan ada halang seorang lelaki cuba panjat pagar salah sebuah rumah di kawasan ni..,” katanya.
Dalam pada itu, Kak Mah (bukan nama sebenar), 55, masih terkejut dengan insiden menimpa menantunya, kelmarin.
“Dari jauh, saya dah nampak ada motosikal meluru ke sini. Bila tengok pemboncengnya pegang parang, saya lari ke dalam rumah.. bawa ketiga-tiga cucu masuk bilik.
“Terdengar jeritan saya, Wan terus keluar dan sergah si penjenayah. Tapi lelaki tu langsung tak berganjak, malah cuba serang menantu saya,” katanya memberitahu, suami Ilah dan isteri Wan tiada ketika kejadian kerana terus ke tempat kerja.
Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan insiden berkenaan dan kes disiasat bawah Seksyen 394 dan 395/397 Kanun Keseksaan.
Daripada petikan berita di atas, PPLV ditubuhkan sebagai satu platform penyatuan penduduk untuk menyediakan sistem keselamatan di dalam kawasan kejiranan Laman Villa. Kejiranan Laman Villa memiliki layout satu laluan keluar dan masuk yang menjadikannya sesuai untuk dijadikan kawasan gated & guarded.
AJK 2015 : sejarah
